Sunday, March 14, 2010

Terumbu Karang


Terumbu karang ialah satu ekosistem marin yang unik, kompleks dan tinggi produktivitinya. Terumbu karang telah wujud sejak beribu tahun, malah berjuta tahun dahulu dan terbina daripada organisma-organisma yang sangat kecil saiznya. Kebanyakan terumbu karang yang tua telah wujud sejak 25 juta tahun dahulu. Hanya di kawasan terumbu karang kita boleh menjumpai organisma yang telah melalui evolusi selama berjuta tahun.
Dari segi pengelasan saintifik, organisma yang membentuk terumbu karang adalah daripada famili Cnidari, termasuklah karang laut (corals), sea anemone, obor-obor, hydra dan sebagainya. Di bawah famili Cnidari, karang laut pula dikelaskan kepada tiga subkelas, Octocorallia, Zoantharia dan Tabulata (koloni karang yang telah pupus). Subkelas Octocorallia terdiri daripada ‘gorgonian coral’, sea pensies, organ-pipe corals dan karang lembut (soft coral). Subkelas ini dikenal pasti daripada tentakel lapan pinat dan kebanyakannya adalah berkoloni manakala subkelas Zooantharia pula membentuk karang keras (hard coral) dan wujud berkoloni atau secara individu.
Batu karang menjadi tuan rumah kepada sejenis organisma karnivor yang disebut sebagai polip. Satu koloni batu karang boleh mengandungi ribuan polip yang menghasilkan kalsium karbonat dan seterusnya membina struktur batu karang. Batu karang adalah sumber produktiviti primer di komuniti terumbu karang hasil daripada simbiosis antara batu karang dengan sejenis alga satu-sel, Zoozanthellae. Alga berwarna perang kekuningan ini membekal nutrien yang diperlukan untuk proses tumbesaran batu karang pada kadar yang sesuai untuk pembinaan terumbu karang. Oleh itu, komuniti alga ini membekal kepada batu karang sumber makanan (dalam bentuk produk fotosintesis) dan pada masa masa yang sama batu karang pula menyediakan perlindungan serta akses kepada sumber cahaya matahari kepada zooxanthellae ini.

No comments:

Post a Comment